Cerpen - Mahu Pulang ke Rumah.

By Nur Afirah - Wednesday, June 01, 2011



Sophie bersiap-siap untuk ke pejabat.  Disebabkan lokasi tempatnya bekerja cuma satu stesen sahaja dari rumah, dia terbiasa untuk bangun sedikit lewat dan bersantai-santai tanpa perlu kalut meredah trafik pagi.  


Semburan sejenis cecair ke mukanya itu menjadi turutan akhir yang dilakukannya sebelum keluar dari bilik.  Makanan di atas meja kelihatan seperti sudah kering, masuk angin barangkali.  Sejak kebelakangan ini Sophie kehilangan selera untuk makan sehingga rutin pemakanannya terabai.  Bibirnya yang mulai merekah itu dioles pelembab bibir dek kerana air yang perlu diminum kurang mencukupi.  Bila cuaca panas, tentu-tentu saja bibirnya pecah-pecah dan berdarah.


 Sebaik pintu utama dibuka, Sophie terkejut bila ada seorang wanita yang berdiri tercegat di situ.  Hampir saja dia menjerit namun sempat dikawal.


“Ya, nak apa?  Macam mana.. err boleh datang sini?” soal Sophie sambil kepalanya menoleh ke kanan dan kiri, memerhatikan jika ada orang lain di situ.  Aras rumahnya yang terletak di tingkat 13 tidak boleh dinaiki tanpa menggunakan kad akses.  Kad itu mesti disentuh sebelum pintu akan terbuka.  Akses pertama di bahagian tempat meletak kenderaan, kedua sebelum menaiki lif dan ketiga pintu untuk masuk ke kawasan rumah.


“Awak nak pergi mana ni Sophie?  Awak belum makan lagi hari ni”  Dah kenapa pula perempuan ni tanya aku nak pergi mana, makan ke tidak?  Getus hati Sophie yang mulai bingung dengan kedatangan wanita tidak diundang itu.


“Maaf ya, saya nak pergi kerja ni.  Takut lambat pula sampai.  Nanti-nantilah kita bersembang ya?”  Sophie meluru pergi berjalan laju menuju lif.  Wanita itu kemudian kelihatan mengekorinya dari belakang dengan muka agak bengis.  Hati Sophie mula tak keruan.  Dia mempercepat langkah kakinya. 


 “Arghhh, waktu macam ni lah kau nak sabotaj aku?” tengking Sophie ke arah kakinya yang tetap saja perlahan walau dia berasakan sudah sehabis laju dia melangkah.


Punat bersebelahan pintu lif itu ditekan berkali-kali.  Kelihatan sangat perlahan dari tujuh aras atas dari tingkat dia berada itu.  Sophie kemudiannya berlari ke lif bomba untuk menuruni ke tingkat bawah.  Wanita misteri entah dari mana itu hampir tiba berhampiran di mana Sophie berada.  Alangkah leganya apabila pintu lif bomba itu terbuka.  Kelihatan seorang pak cik yang berpakaian seragam berdiri di dalam lif itu.


Sophie dengan pantas menekan butang tutup dan menuju ke tingkat G.  Keadaan dalam lif seperti senyap, seolah-olah tidak bergerak.  Paparan skrin jernih yang menunjukkan aras semasa juga tidak berganjak.  Masih di tingkat yang sama!  Sophie menekan-nekan menggunakan sehabis tenaganya dengan harapan lif itu cepat-cepat bergerak.  Tidak semena-mena pakcik berpakaian seragam itu tadi membisik di telinganya; “Kamu nak pergi mana?  Kamu tak boleh ke mana-mana.  Berapa kali pakcik nak beritahu?”


Terbeliak mata Sophie mendengar sayup suara itu.  Seperti dia kenal cara pertuturan itu.  Siapakah dia?  Arghhh.  Seperti ditimpa bala pula pagi ini.  Sudah tentu-tentu lewat ke tempat kerja, didatangi wanita misteri, kini pakcik berpakaian seragam ini pula.


Betul-betul di hujung pintu lif Sophie berdiri tegak.  Dia tidak berani untuk menoleh ke belakang di mana pakcik itu berada.  Lif bomba yang bersaiz lebih besar dari yang biasa memberi ruang untuknya mencipta jarak dari berdiri dekat dengan pakcik itu.  Sophie mula melambai-lambai tangan ke arah kamera kecil yang terdapat di situ dengan harapan ada bantuan yang datang.  Tiada sebarang respon yang boleh didengar melalui pembesar suara.


Beberapa belas minit berlalu, kedengaran bising-bising di luar bahagian lif.  Sophie memanggil-manggil dan akhirnya pintu berjaya dibuka.  Entah bagaimana ia dibaiki tetapi yang penting dia sudahpun berjaya keluar dari situ.


“La.. awak lagi?  Ingatkan apalah tadi.” ujar lelaki yang berpakaian jaket dipercayai seorang juruteknik di bangunan itu.  Sophie mengerutkan dahinya kerana tidak faham akan maksud lelaki tersebut.  Seingatnya, dia tidak pernah bertemu juruteknik itu.  Malas mengambil endah, dia terus saja berlari keluar meninggalkan lif.  Boleh saja kalau setakat nak turun menggunakan tangga.  Bukan dia tak biasa.


Pintu rintangan api yang sungguh berat itu dibuka.  Pernah sekali dahulu, Sophie turun dari tingkat 13 kerana masalah yang sama.  Lif tidak berfungsi ekoran ada penyelenggaraan.  Di pagi hari pulak tu.  Macam tiada waktu lain.  Walhal dia tinggal di rumah jenis bangunan tinggi yang boleh tahan premiumnya.  Dengan kemudahan fasiliti, pengawal, kolam renang bersaiz olimpik, reka bentuk dalaman yang cantik, tetapi gagal bila masuk bab penyelenggaraan lif.


Laluan menuruni anak tangga sangat indah dengan landskap daun-daun yang bergantungan.  Tambah pula dengan pemandangan kolam mini di setiap aras.  Sampai saja di aras sembilan, Sophie mendapati ada ramai lagi orang lain yang juga sedang menggunakan tangga.  Dia tidak lagi rasa keseorangan.  Namun apa yang peliknya mereka semua memerhatikan dirinya itu.  Apakah dia terlalu comot?  Atau kelihatan kusut masai selepas terperangkap dalam lif tadi?




Dua Minggu Sebelum


Mata gadis itu dibuka secara perlahan-lahan.  Di saat dia mahu menggerakkan kepala, terasa seperti ada benda yang berat di bahagian dahi.  Kepalanya menjadi pusing, pening yang teramat sangat.


Dia mengagak bahawa dirinya itu tidur dalam tempoh yang lama, menjadikan kepalanya pening yang bukan kepalang.  Bila mata dibuka rasa seperti keadaan sedang berpusing-pusing, dan hampir saja terjatuh.  Dia sedang di pembaringan, mahu jatuh ke mana?


Kedengaran banyak suara-suara yang entah dari mana.  Tidak terlalu sunyi dan tidak terlalu bising.  Langsung dia tidak dapat mengagak siapakah itu serta di mana dia sedang berada.  Sehinggalah dia mula menyedari ada sesuatu di kawasan tangannya.


Jarum!  Ya, di tangannya itu telah dicucuk jarum untuk dimasukkan drip air dan ubat.  Ketika dia cuba untuk membelek-belek di bahagian lengan, terasa kasar dan pedih bagai disiat.  Boleh dilihat kesan luka seperti terkena alat yang tajam dalam jumlah yang banyak di lengan kirinya itu.


“Hospital?  Aku kat hospital ke ni?”  Ya, itulah persoalan yang terbit dari bibirnya. Hampir serupa seperti babak dalam kebanyakan drama bersiri yang gemar benar mengeluarkan dialog “Saya kat mana ni?” setelah mata dibuka.  Barangkali memang kita akan bingung dan otak tidak dapat berfungsi dengan baik bila sedang kesakitan.


“Aku bukan isteri derhaka!  Aku tak buat semua tu, aku nak balik!” jeritan keras yang tiba-tiba menjengah membuatkan rasa sakit pening si gadis itu tadi terus hilang.  Kelihatan seorang wanita sedang duduk di katil bertentangan, sambil kaki dan tangannya diikat di besi katil.  Bertudung serabai, memakai pakaian tidak ubah seperti seorang banduan.


“F… aku kat sini lagi rupanya?” gadis itu mula menjadi tidak keruan.  Kakinya mula menendang penjuru katil itu.  Dia menahan kesedihan.  Kesedihan yang teramat sangat.  Apa salah dirinya, sehingga dia dihukum begini?  Dia juga mahu sebuah kehidupan yang normal seperti mereka yang bebas di luar sana.  Air mata jatuh dengan banyak.  Gadis itu menangis sepuasnya.


Kali terakhir berada di sini, dia berusaha untuk melarikan diri.  Mengapa dirinya mesti dikurung sebegitu sedangkan dirinya punya tanggungjawab yang lain?  Pelbagai helah diguna pakai untuk memastikan dia bebas.


Bagaimana akhirnya dia berada di sini apabila lokasi dia mahu membebaskan diri dipenuhi dengan sekumpulan berpakaian celoreng.  Memujuk rayu dirinya supaya menerima hakikat dan menyerah diri.  Ukiran di lengannya yang masih jelas kelihatan menjadi tanda ingatan perihal peristiwa itu.  Tanda betapa jauhnya perjalanan menanggung beban yang tidak lagi tertanggung.  Tanda dia telah pun bercerita tentang dirinya yang tidak dapat dijelaskan menerusi lisan.


‘Datang lagi makcik ni’ dengus gadis itu yang jelas ketara dapat dilihat melalui riak wajahnya yang menyampah barangkali.  Wanita itu tanpa jemu menolak troli ke katilnya entah ke berapa kali hanya untuk bertanyakan soalan remeh seperti sudah makan ke belum, sambil dihulurkan piring kecil tersusun pil hijau kuning.


Lelaki yang sering duduk di kerusi menjaga pintu keluar masuk kelihatan sedang bersembang dengan pembantu.  Mereka kelihatan berbincang hal yang serius.  Pintu itu nampak seperti memanggil-manggil.  Gadis itu tersenyum.


  • Share:

You Might Also Like

0 comments