“Doktor celaka, makan duit haram!”, “Dasar penunggang, berapa ramai lagi orang yang kau nak tipu?”, “Eh hidup lagi dia ni, dasar!”. Itu merupakan antara komen yang telah berjaya dipadam oleh petugas kanan Suri di laman peribadi media sosialnya.
Kental, keras hati, hati batu, entah apa lagi gambaran yang signifikan dengan Suri bila saban hari ada sahaja yang akan mencerca dirinya dengan pelbagai kata-kata kesat. Manakala dirinya, terus berjalan ke hadapan tidak mengambil pusing akan kata-kata yang dilempar kepadanya itu. Malah, kerja-kerja seharian Suri semakin rancak dan namanya semakin dikenali.
Genap sejumlah wang RM1,500 ditambah ke akaun Facebook Ads untuk menjalankan iklan kempen yang seterusnya menerusi bayaran kad debit. Kali ini, sasaran utama merupakan golongan suri rumah yang tidak bekerja. Suri atau nama penuhnya Suriani Arifin, melaburkan sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan untuk tujuan pemasaran perniagaannya itu.
Produk utama yang laku keras dalam perniagaan Suri ialah Webinar Mengenalpasti Potensi Diri. Sesiapa yang membeli pakej ini akan mendapat akses seumur hidup tentang kebolehan diri, serta percuma penilaian diri yang dibuat menerusi pengecaman jenis tulisan tangan. Kebolehan Suri dalam menerokai minda separa sedar menerusi tulisan tangan ini dikagumi segenap lapisan masyarakat.
Berbondong-bondong akan datang kepadanya saban hari sambil menangis kerana terharu dengan bantuan Suri kepada masyarakat. Ekoran dunia hari ini ramai yang tersepit, hilang arah tuju hidup dan kesempitan sumber pendapatan. Imejnya yang berpakaian sopan, raut wajah yang manis dan sering mendapat liputan dari media perdana memudahkan kerja-kerja pengesahan akan kredibiliti diri.
“Dr. Suri, tengok ni, tengok ni!” Amelia yang berlari masuk ke ruangan kerja Suri kelam kabut sambil menatal skrin telefon di tangannya. “Cuba Dr. baca ni, Prof. Malek ada keluarkan artikel pasal ‘Bahayanya Grafologi!’ Ramai betul yang kongsi dan komen. Urgh..” sambung Amelia lagi sambil berdiri betul-betul di sebelah Suri.
“Apa je yang dia tulis dalam tu?” soal Suri lagak tenang. Kurang ajar, tak habis-habis nak kacau orang punya perniagaan. Kau tu yang elok mengajar dekat universiti tu fokus jelah kerja kau. Banyak betul masa kau skodeng aku ya? Gertak Suri dalam hati. Kata-kata geram sebegitu tidak boleh dituturkan di hadapan orang lain, tambah lagi orang kanannya itu.
“Dia kata, amalan mengenal personaliti melalui tulisan tangan ini tidak sahih.” berkerut-kerut dahi Amelia membaca terma yang ditulis oleh Prof. Malek, langsung tidak difahaminya. Istilah yang digunapakai oleh cendekiawan itu terlalu tinggi sehingga dia terpaksa membaca berkali-kali dan membuat semakan apakah maksudnya di internet.
“Jika mahu menggunakan analisis rahsia di sebalik tulisan tangan untuk membuat keputusan tentang diri, keluarga, pekerjaan atau apa sahaja, lebih baiklah jika ditinggalkan. Ada banyak bukti, kajian dalam artikel jurnal yang mendapati tiada kaitan antara penilaian grafologis dengan…..” jelas Amelia yang bagai menahan nafas itu terhenti bila mana isyarat tangan oleh Suri diberikan, tanda menyuruhnya berhenti dari meneruskan pembacaan. Amelia selepas itu keluar dari bilik Suri dan kembali ke tempat duduknya.
Ini bukanlah kali pertama situasi sebegitu berlaku. Suri dan Prof. Malek ibarat langit dan bumi, tidak sekufu dalam hal ini. Tambah sejak kebelakangan ini, ia menjadi semakin kerap pula isu ini dinaikkan. Menjadikan Amelia sendiri selaku pengurus Suri mahu mencari jawapan untuk merungkaikan masalah ini.
Antara ilmu yang akan diajar kepada peserta program Suri ialah bagaimana menentukan jodoh yang sesuai serta memperbaiki hubungan antara pasangan suami isteri dan anak-anak.
Dalam beberapa hantaran Prof. Malek di media sosial pula banyak menyentuh tentang perubahan zaman. Kalau dahulu kala kita ada Tok Bomoh, yang tinggal di ceruk kampung. Khidmatnya diperlukan bila mana penduduk ingin mengetahui tentang sesuatu perkara. Tentang sesuai atau tidak kalau anaknya dikahwinkan dengan anak si polan. Tentang perlu atau tidak untuk diteruskan rumah tangga yang sudah porak peranda.
Jika katanya serasi untuk berkahwin, maka ianya akan diteruskan. Jika sebaliknya, maka itulah yang akan dituruti. Berbeza dengan sekarang Tok Bomoh tidak lagi hidup miskin dalam rumah yang dipenuhi dengan kepulan asap dan hirisan limau. Tiada lagi mantera yang terkumat kamit meniti di bibir.
Tok Bomoh masa kini berpelajaran tinggi. Mendapat kelulusan Doktor Falsafah. Ada pangkat “Dr.” di bahagian hadapan namanya. Ditambah pula dengan gelaran Haji atau Hajah. Berkeyakinan tinggi dan hebat berhujah menggunakan tafsir ayat suci mengikut kefahaman sendiri. Tinggal di sebuah rumah yang paling kurang bernilai satu juta.
“Boleh gila aku dengan Dr. Suri dengan Prof. Malek ni.” perang maya antara dua individu yang dikenali oleh warganet itu menjadikan Amelia semakin tidak keruan. Tidak tahu siapa mahu dirujuk dan dipercayai. “Tilik nasib? Takkanlah...” persoalan terus menerus keluar dari mulut Amelia yang semakin pening dengan teka-teki ini.
“Apa yang takkanlah?” soal Suri yang tiba-tiba datang entah dari mana itu mengejutkan Amelia. Habis kopi bancuhan tiga dalam satu itu tertumpah di atas mejanya.
“Laa.. kenapa yang terkejut sangat ni?” nada suara Suri semakin serius sedikit menakutkan Amelia. Dia yang sedang mengelap meja itu menggeleng-gelengkan kepala tanda tiada apa-apa. Suri kembali senyum, menenangkan pengurusnya itu. Dia paling risau jika imej dirinya kelihatan tidak baik. Suri mesti nampak sentiasa positif dan tenang.
“Awak masih simpan kan data pelanggan kita sebelum-sebelum ini?” tanya Suri meneutralkan keadaan.
“Ya, ada-ada. Dr. boleh saja akses menerusi Google Sheets, semua ada tersimpan di situ. Saya dah susun mengikut program yang mereka sertai.” jawab Amelia sambil mencapai tetikus dan membuka pautan berkaitan di komputer untuk ditunjukkan kepada Suri.
“Ok takpe. Macam ni, saya nak awak blast kepada semua nombor pelanggan kita dan mohon jasa baik mereka untuk tinggalkan komen di media sosial saya. Atau di laman sesiapa yang mengutuk-ngutuk saya tu.” Suri merujuk kepada Prof. Malek yang sering menimbulkan isu hangat di internet.
“Nak tulis apa dalam mesej tu, Dr.? Komen yang macam mana mereka kena tulis? soal Amelia berkerut dahinya, tidak mengerti arahan daripada Suri.
“Awak buat dulu draf ayat kemudian tunjuk kepada saya sebelum hantar. Kalau boleh jangan bunyi seperti terlalu memaksa. Kita nak ramai-ramai komen yang macam biasa saya selalu cakap. Ilmu Allah itu luas, semoga diberikan hidayah kepada mereka yang mencari ilmu ini kepada sesiapa yang mencarinya.” jawab Suri panjang lebar.
Suri yakin benar kelebihan pengetahuan yang ada dalam dirinya itu perlu disebarluaskan. Bidang ilmu yang dikuasai oleh dirinya tidak ramai yang mendominasi. Namun jika dilihat di luar negara, ianya sudahpun lama diamalkan oleh ramai tokoh terkenal. Suri menganggap ini sebagai satu jariah untuk membantu ramai orang mengubah diri ke arah yang lebih cemerlang dan berjaya. Analisis tulisan tangan ini sangat mudah untuk mengenali seseorang individu. Tambah pula, ia bakal menjawab mengapa seseorang itu bertindak melakukan sesuatu perkara.
***
“Sebagai penutup rancangan kita pada kali ini, boleh Prof. kongsikan apakah antara kesan mengikuti program analisis tulisan tangan dan Prof. bolehlah buat kesimpulan tentang topik hari ini.” tutur pengacara Rancangan 13 episod ‘Banteras Ilmu Palsu’ yang ditayangkan di saluran swasta setiap hari Selasa malam.
“Terima kasih Cik Amelia. Antara perkara mustahak ingin saya tegaskan di sini adalah kesan kepada masyarakat. Satu hari nanti jika dibiarkan saja, orang ramai boleh keliru untuk menerima ajaran betul atau palsu. Yang mana satu ahli psikologi, yang mana satu tok bomoh. Kelihatan seperti sama. Jika anda rasakan keputusan analisis itu menunjukkan benar tentang personaliti, ianya sekadar di permukaan.” jawab Prof. Malek dengan penuh berwibawa, seperti seorang bapa menasihati anaknya.
“Apa yang boleh disimpulkan, jauhi amalan palsu yang bercanggah jauh dari perkara yang benar. Sama ada percuma mahupun berbayar, usahlah beriman dengan perkara yang tidak tentu asal usulnya. Cari dan belajarlah ilmu yang sahih.” tambah Prof. Malek lagi, menyudahkan sesi pada malam itu.
Amelia tersenyum bangga, apabila idea untuk menerbitkan rancangan ini berjaya direalisasikan. Bermula dari garapan kertas kerja program bual bicara sehinggalah dia sendiri yang diamanahkan untuk menjadi pengacara. Dia berjaya membebaskan diri daripada seorang pembawa ajaran ilmu analisis tulisan tangan bagi mengenal personaliti diri. Doktor ke dia? Ya, doktor falsafah dalam bidang pemasaran!
Graf-o-logi sebuah Cerpen oleh Nur Afirah
0 comments