Kiblat Kekinian. Sebuah Cerpen.

By Nur Afirah - Monday, May 23, 2011






Dzaf membetulkan kedudukan di kerusi yang telah ditetapkan mengikut ketinggian kakinya.  Dia menghela nafas panjang, melepaskan lelah seharian bekerja.  Lebih melelahkan, Dzaf baru sahaja meneliti beberapa video yang telah dihasilkan oleh calon mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Psikologi dengan Kepujian, bagi sesi kemasukan semester akan datang.


Video tersebut menjadi keperluan dan mesti disediakan oleh setiap calon bagi tujuan memenuhi syarat kemasukan ke program berkenaan.  Selain keputusan peperiksaan yang memberangsangkan, antara faktor lain yang dinilai ialah penglibatan di peringkat pengajian terdahulu.  Dzaf mengerutkan dahi setiap kali sampai ke bahagian “Kenapa Saya Layak untuk Mengikuti Kursus Ini.”


“Cuba Dr. tengok ni.” Dzaf mengalihkan skrin komputer ribanya itu menghala tepat kepada penglihatan Dr. Izunee, Ketua Program Psikologi.  “Kenapa, apa yang tak kena?”  soal Dr. Izunee sambil mengecilkan matanya menatap skrin komputer Dzaf yang tidak diturunkan kecerahannya itu.


“Saya tak tahulah ini video ke berapa yang saya tengok, tapi kebanyakan bakal calon mahasiswa bila ditanya kenapa nak belajar bidang Psikologi, jawapannya buat saya termenung panjang, Dr.”  jelas Dzaf dengan riak wajah bercampur bingung, bimbang, seolah memikul beban yang berat.


Dr. Izunee tersenyum manis sambil menggeleng-geleng perlahan kepalanya.  Fokusnya kembali ke komputer yang jelas tulisan Hak Milik Kerajaan Malaysia.  Tidak begitu terkejut malah ianya sudah boleh dijangka dengan makluman yang diperoleh daripada rakan sejabatannya itu.


Bilik mesyuarat yang boleh memuatkan kapasiti sehingga 30 orang itu kembali sepi.  Saja mereka bertiga termasuk Luqman, mengambil sedikit masa untuk meneliti tugasan hakiki pada hari itu.  Dzaf meluangkan masa untuk menonton video resume pelajar yang perlu dihantar sebelum hujung bulan ini.


Dzaf teringat sahabat baiknya, Dr. Ariff yang merupakan pensyarah di Jabatan Perubatan.  Mereka bersama-sama belajar di peringkat asasi lebih sepuluh tahun yang lalu, sebelum memilih haluan bidang masing-masing.  Andai katalah calon pelajar yang ingin menempatkan diri di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan itu perlu menyediakan video resume sebagai satu syarat kemasukan.  Mereka juga menyatakan mereka mahu menjadi doktor perubatan kerana ingin menonjolkan diri di aplikasi seperti TikTok untuk menyampaikan mesej kesihatan kepada masyarakat.  Dzaf menepuk dahinya.


Adakah sela waktu dan umur antara dirinya dan pelajar generasi kini menjadikan Dzaf kurang mengerti perihal pemikiran mereka?  Persoalan itu mulai merajai fikirannya setelah membuat penilaian video para pelajar sejak kebelakangan ini.  


Ada yang ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang Psikologi untuk menjadi seperti Maria & Minda, penyiar radio popular yang aktif merekodkan suara secara digital dan terdapat di internet untuk didengari.  Topik yang sering dikupas adalah isu kesejahteraan mental dalam kalangan anak muda.


Tidak kurang ada yang mahu bergelar seperti alumni universiti ini, Azan Khaleel.  Seorang ahli Psikologi Klinikal yang bertugas di salah sebuah Pusat Pakar Psikologi swasta.  Namanya dikenali dalam kalangan warganet kerana sering berkongsi tips berkenaan penjagaan diri atau self care dan dianggap relevan untuk diri mereka.


Banyak lagi dan terlalu banyak sehinggakan akhirnya tujuan mereka seolah-olah sekadar mahu menempatkan diri dalam khalayak masyarakat di alam digital.  Mahu belajar Psikologi kerana ingin dikenali dan dihormati.  Walaupun sering mendengar ada yang berkata bidang ini sangat terhad dari segi peluang pekerjaannya, tidak mengapa.  Kerana di media sosial juga boleh bekerja.


“Jadi, apa pendapat Dr.?” soal Dzaf sambil memusingkan kedudukan roda kerusinya apabila melihat Dr. Izunee mula mengemas beg dan meneguk air kosong yang direndam dengan hirisan lemon.  “Pendapat pasal apa?  Benda-benda influencer tu?”  berderai ketawa mereka bila Dr. Izunee menjawab persoalan itu dengan pertanyaan yang lain.


“Nak taknak, kita kena cuba secara perlahan-lahan menyesuaikan diri dengan dunia mereka sekarang.  Tujuan itu tidak salah, namun tidak bolehlah dijadikan tujuan utama.  Sebab tugas dan cabaran kita jauh lebih besar di luar sana berbanding di hadapan skrin.” ujar Dr. Izunee dengan lemah lembut dan bersahaja.  Meski jawapan itu seperti boleh diagak oleh Dzaf, namun dia juga yakin Dr. Izunee akan memikirkan perihal itu.


Terbayang Dr. Josh yang memiliki lebih dua juta pengikut di media sosial, sering memuat naik videonya berjoget sambil memberikan ilmu tentang perubatan.  Tingkahnya itu digemari oleh ramai pengguna terutamanya wanita kerana memiliki rupa paras yang elok dan ilmu pengetahuan yang tinggi.


Itukah yang dikejar mahasiswa kini?  Spesies populariti agar akhirnya digelar ‘Beauty / Handsome with Brains’.  Atau ianya tidaklah dikejar, cuma mereka sudah terbiasa hidup dalam dunia begitu, masing-masing berlumba untuk dikenali maka apa sahaja yang dilakukan akan berkiblatkan ke arah itu.


Siapa sangka perjuangannya selama ini berbaloi.  Dzaf yang berusia 19 tahun itu pada asalnya terlalu bersedih kerana terpaksa menyarung kembali pakaian seragam sekolah, sedang rakan seperjuangan yang lain sudah terbang tinggi di menara gading.  Ada bilik tidur, meja dan lampu belajar sendiri, pergi ke kuliah di auditorium.  Belajar pula dengan kawan-kawan.  Alangkah indahya!  


Keputusan hari ini membuktikan peluang untuk setiap daripada kita menggapai cita-cita itu ada.  Bagaimana likunya, berapa panjang perjalanannya itu yang membezakan nasib dan ketentuan seseorang.  Keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi melayakkan Dzaf untuk menempatkan diri di universiti.


Bergelar seorang mahasiswa dalam bidang Psikologi di sebuah universiti terulung.  “Ahh!!” sorakan gembira bercampur puas.  Selepas memperoleh keputusan cemerlang dan kelayakan kemasukan ke universiti, Dzaf berazam untuk menurut jejak langkah Profesor Malik Badri, Bapa Psikologi Islam d zaman moden ini.  Dia juga bercita-cita untuk meneruskan pengajian sampai ke peringkat yang tertinggi!  Ya, Doktor Falsafah!



Dua bulan sebelum


“Abang pergi kafe siber dulu ya, bu.  Dah nak masuk pukul sepuluh ni.” ujar Dzaf kepada ibunya.  Hari ini, hari sangat penting bila mana keputusan kemasukan ke universiti tempatan akan keluar.  Ia boleh diperiksa menerusi laman sesawang Kementerian Pengajian Tinggi bermula jam 10 pagi, hari Isnin.


Haslina memerhatikan anak sulungnya itu yang semakin hilang dari pandangan matanya.  Riak wajahnya yang bersih dan tenang, sentiasa mendoakan yang terbaik buat Dzaf.  Dalam hatinya Tuhan saja tahu berdebarnya seorang ibu menantikan keputusan hari ini.  Harapan untuk melihat seorang anak meniti perjalanan kembara ilmu.


Apa lagi bila beberapa keputusan sebelum ini memberikan jawapan tidak, semakin bertambah kerisauan itu.  Permohonan kemasukan Dzaf ke Program Matrikulasi tidak berjaya.  Sama juga dengan kemasukan ke Institut Perguruan.  Harapan yang ada hari ini, keputusan kelayakan ke universiti.  Mana-mana pun tidak mengapa, dia sanggup untuk menghantar anaknya.


Hampir sembilan tahun memikul jawatan ibu dan bapa kepada tiga orang anak, menjadikan Haslina hari ini seorang wanita yang kuat dan sentiasa berhati-hati.  Setiap keputusan sebelum dibuat, mesti difikirkan sedalamnya.  Dia sebolehnya tidak mahu apa-apa kesan yang tidak baik berbekas kepada anak-anaknya.


Di pintu belakang, deretan kain telah disidai oleh Haslina pagi tadi.  Dia kemudiannya keluar semula untuk menyepit setiap helaian itu memandangkan angin agak kuat dan boleh menerbangkan pakaian mereka sekeluarga.  Kedengaran bunyi motor menandakan Dzaf telah pulang dari kafe siber untuk menyemak keputusan.


Dari jauh dapat dilihat riak muka Dzaf tersenyum.  Terbit rasa sedikit kelegaan dalam hati Haslina.  “Macam mana abang, keputusannya?” soal Haslina yang juga tersenyum melihat anak bujangnya tersenyum.  “Tidak berjaya, bu.  Nama abang tiada dalam senarai pun.” jawab Dzaf bersahaja, bagai tidak dapat meneka apa sebenarnya perasaan dia pada ketika itu.  Haslina yang sedikit terkejut cuba mengawal dirinya.


“Tapi takpe bu, esok boleh mula buat rayuan.  Kita tengok macam mana.  Mungkin kursus yang abang minta tu tak sesuai dengan kelayakan abang.  Jadinya rasa nak tukarlah ambil kursus lain.”  jelas Dzaf panjang lebar, yang telah difikirkan perancangan sepanjang perjalanan pulang ke rumah tadi.  Haslina mengangguk, bersetuju dan menyokong keputusan Dzaf.  Dia tidak mahu terlalu mengatur anaknya.


Ketukan pintu bilik mesyuarat di aras lima itu memutuskan kenangan yang dilalui Dzaf sepanjang menempa pengalaman mencari ilmu.  Keazaman dan kesungguhan itu yang sering dia terapkan kepada pelajarnya.  Sebab itulah dia sedikit termenung dan berterusan berfikir bilamana pelajar generasi kini melihat kemahsyuran dan populariti adalah aset yang penting.  Sedangkan adab, ilmu pengetahuan itu sendiri merupakan perkara yang lebih mustahak.


Kiblat Kekinian - Nur Afirah

  • Share:

You Might Also Like

0 comments